PERKAKAS judi yang dirampas polis. FOTO Ihsan PDRM.
PERKAKAS judi yang dirampas polis. FOTO Ihsan PDRM.
Shamsul Munir Safini

[email protected],my

ENAM lelaki yang menjadikan kedai kopi di Taman Bukit, Bukit Mertajam sebagai mini kasino untuk mereka berjudi ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mereka yang berusia antara 40 ke 70 tahun ditahan dalam serbuan malam Rabu lalu.

Katanya, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) daerah.

“Ketika serbuan, semua mereka sedang berdiri mengelilingi sebuah meja.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan dan mendapati mereka bermain judi mahjung. Mereka ditahan dan perkakas dirampas.

“Kita turut merampas wang pertaruhan berjumlah RM6,100 yang diletakkan di situ,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, serbuan itu hasil maklumat awam yang menyedari wujud kegiatan tidak sihat di premis berkenaan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 3:15 PM