SEBAHAGIAN kaki judi yang ditahan ketika berjudi di ladang kelapa sawit di Jalan Permatang Tinggi, Bukit Mertajam, malam tadi. FOTO ihsan polis.
SEBAHAGIAN kaki judi yang ditahan ketika berjudi di ladang kelapa sawit di Jalan Permatang Tinggi, Bukit Mertajam, malam tadi. FOTO ihsan polis.
Hadzlihady Hassan


‘KASINO kelapa sawit’. Itu dilakukan sekumpulan tahi judi dengan menjadikan ladang kelapa sawit sebagai lokasi untuk mereka melepaskan gian berjudi di Jalan Permatang Tinggi, Bukit Mertajam, malam tadi.

Dilengkapi dengan meja, kerusi serta bumbung kanvas, golongan tahi judi terbabit sanggup bersengkang mata dan masuk ke kawasan yang agak tersorok semata-mata mahu berjudi.

Bagaimanapun, perbuatan mereka terbongkar apabila ‘port’ itu diserbu sepasukan polis Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT).

Dalam serbuan 8 malam itu, seramai 11 lelaki berusia 38 hingga 63 tahun ditahan polis dan pelbagai peralatan judi turut dirampas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, ketika serbuan semua suspek sedang leka berjudi dan mereka tidak sempat melarikan diri kerana kawasan terbabit sudah dikepung.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati mereka menjadikan kawasan terbabit yang agak tersorok dalam ladang kelapa sawit kerana mahu mengelak daripada dikesan polis dan orang ramai.

“Kita dapati mereka menggunakan generator untuk membekalkan bekalan elektrik dengan melakukan pendawaian sendiri.

“Mereka mungkin beranggapan kawasan itu sudah selamat dan agak jauh daripada penglihatan orang ramai, namun polis berjaya menghidu perbuatan itu selepas melakukan risikan dan hasil maklumat awam,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, semua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPDSPT untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata, antara peralatan dirampas adalah meja, kerusi plastik, alas meja, bateri, lampu, pelbagai cip, dadu dan mangkuk seramik serta plastik yang dipercayai digunakan untuk bertaruh dalam aktiviti perjudian terbabit.

Katanya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM274.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 6:27 PM