Abnor Hamizam Abd Manap


Seremban: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) mengesan kes positif Demam Babi Afrika (ASF) membabitkan dua ekor babi dari sebuah ladang tidak berlesen di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Port Dickson.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan Datuk Bakri Sawir berkata, kes positif itu dikesan selepas sampel diambil daripada 275 ekor babi sebelum dua daripadanya disahkan positif ASF.

Katanya, sampel diambil pada Khamis lalu sebelum ia disahkan positif ASF petang kelmarin sebelum tindakan segera diambil bermula semalam.

"Tindakan dilakukan termasuk menyita ladang berkenaan selain meminta bantuan polis bagi memantau ladang itu supaya tiada aktiviti keluar masuk babi dilakukan.

"Kita akan terus memantau keadaan di sana manakala babi di ladang berkenaan akan dihapuskan secara berperingkat di situ juga," katanya tadi.

Bakri berkata, kawasan meliputi lima kilometer dari ladang berkenaan akan turut dipantau sekiranya terdapat kes positif ASF.

Katanya terdapat 20 ladang ternakan babi tidak berlesen di kawasan berkenaan dan kerajaan sebelum ini sudah mengeluarkan notis supaya menghentikan penternakan.

"Kita sekali lagi meminta penternak terbabit supaya menghentikan aktiviti ternakan tanpa lesen kerana ia berisiko dan mendatangkan masalah.

"Ladang yang tidak berlesen dan mempunyai kes positif ASF bakal berdepan dengan tindakan undang - undang termasuk tindakan meroboh kandang.

"Tindakan tegas perlu diambil kerana kita tidak mahu berdepan dengan kes membabitkan penyakit daripada babi seperti virus nipah yang pernah berlaku pada tahun 1999 lalu," katanya.

Jelasnya babi yang dikesan positif ASF dipercayai dibawa masuk dari negeri Perak.

Sementara itu Bakri berkata ASF tidak boleh menjangkiti manusia namun jika tidak dikawal ia boleh menjangkiti binatang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 4:02 PM