NORLIDA (tengah) bersama pekerja yang membantunya menyiapkan tempahan biskut raya.
NORLIDA (tengah) bersama pekerja yang membantunya menyiapkan tempahan biskut raya.
HM Digital

Kota Bharu: Selama 20 tahun mengusahakan biskut raya, peniaga wanita dari Pasir Tumboh di sini, boleh berbangga apabila jenamanya dinanti setiap kali Aidilfitri di Kelantan dan Terengganu.

Norlida Yaacob, 54, berkata, pihaknya menerima tempahan sehingga 5,000 bekas kuih raya tahun ini untuk pelanggan di Kelantan selain menjadi pembekal tetap di sebuah pasar raya di Terengganu.

Menurutnya, dia juga menerima permintaan dari Kuala Lumpur selain dibantu 10 pekerja.

“Pada peringkat awal dulu, saya buat kuih di hadapan rumah dibantu dua pekerja dan kini saya boleh menyewa rumah berdekatan kerana mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Alhamdulillah, perniagaan semakin berkembang dan kami mula mengambil tempahan sebulan sebelum puasa dan setiap hari, kami boleh menyiapkan sehingga 100 bekas,” katanya yang menghasilkan 20 jenis biskut tahun ini.

Norlida juga antara usahawan contoh yang mendapat bimbingan Lembaga Pertubuhan Pertanian Kemubu (KADA) dan menerima pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) serta Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Ibu kepada empat anak itu berkata, setiap tahun dia menghasilkan sehingga 30 biskut raya, tetapi dikurangkan tahun ini.

“Tahun lalu, saya menerima tempahan biskut raya lebih 7,000 bekas dan purata jualan setiap kali Aidilfitri antara RM50,000 hingga RM60,000.

“Antara biskut yang menjadi kegemaran pelanggan ialah tart keju, tart nyonya, red velvet dan exora iaitu biskut keju yang dibentuk seperti kereta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 8:57 AM