Nur Liyana sedang menyiapkan tempahan 1,000 botol biskut raya daripada pelanggan tetap. FOTO Paya Linda Yahya
Nur Liyana sedang menyiapkan tempahan 1,000 botol biskut raya daripada pelanggan tetap. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Meskipun bergelar pesakit kanser selain menggalas tugasan hakiki sebagai guru, ia tidak menghalang Nor Liyana Abdullah untuk menyiapkan tempahan 1,000 balang biskut raya.

Nor Liyana, 39, berkata dia menjadikan penghasilan biskut raya sebagai pendapatan sampingan kerana minat yang mendalam dalam bidang berkenaan.

Katanya, pada awalnya dia hanya suka-suka sahaja, namun tidak menyangka air tangannya itu semakin mendapat sambutan.

"Antara biskut yang menjadi pilihan pelanggan ialah coklat chip, nilam sari, jering dan tart nanas yang dijual pada harga antara RM28 hingga RM30.

"Walaupun bertugas sebagai guru Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Indra Petra (SMKTIP), saya begitu meminati bidang pastri," katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata itu bersyukur dengan penerimaan pelanggan yang menggalakkan sehingga mendapat tempahan 1,000 botol biskut raya terutama daripada pelanggan tetap.

"Walaupun sedikit sibuk, saya akan membahagikan masa sebaik mungkin sebagai seorang guru, pembuat biskut dan seorang ibu.

"Pada masa sama, aktiviti penghasilan biskut ini juga mampu membuatkan saya gembira dan tenang sehingga ada kalanya saya terlupa bahawa saya pesakit kanser kelenjar air liur," katanya.

Menceritakan penyakit dialaminya, Nor Liyana berkata, dia disahkan menghidap kanser kelenjar air liur tahap dua pada 2019 ketika mengandungkan anak kelima.

"Bagaimanapun, saya terpaksa menggugurkan kandungan itu kerana penyakit yang dialami disebabkan perlu menjalani rawatan.

"Sejak itu, saya perlu melalui proses kemoterapi dan pada masa sama saya masih menerima tempahan kek serta biskut supaya tidak terlalu memikirkan penyakit yang dialami.

"Suami dan anak-anak banyak memberi semangat bagi meneruskan rawatan kanser dan bidang pastri menjadi terapi supaya saya tidak tertekan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 3:31 PM