ANTARA kebakaran yang berlaku di Kulim. FOTO Azahar Hashim
ANTARA kebakaran yang berlaku di Kulim. FOTO Azahar Hashim
Zuliaty Zulkiffli


TERLUPA menutup api dapur ketika menyediakan kuih raya atau berbuka puasa dan bersahur serta pendawaian elektrik yang tidak diperiksa antara faktor yang boleh meningkatkan kes kebakaran terutamanya pada bulan Ramadan ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Abdul Razak Muda berkata, sekarang ini ramai suri rumah dan peniaga sibuk membuat kuih raya untuk menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata, kebakaran rumah kediaman mempunyai banyak faktor kerana biasanya mereka yang sibuk di dapur kadangkala terlupa untuk memastikan aspek keselamatan jika berlaku kebakaran.

"Setakat ini statistik kebakaran membabitkan rumah kediaman di negeri ini dari 17 Mei hingga 1 Jun adalah sebanyak 10 kes berbanding tahun lalu 21 kes sepanjang tempoh sama.

"Daripada jumlah itu, empat kes di Sungai Petani, tiga kes di Alor Setar, dua kes di Kulim dan dua kes di Kulim Hi Tech," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama anggota dan pegawai JBPM Kedah di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, semalam.

Terdahulu, Abdul Razak turut melakukan pemeriksaan Tahunan Kit Inspection terhadap 40 anggota BBP Kuala Nerang termasuk 14 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) untuk memastikan peralatan mereka dalam keadaan baik.

Abdul Razak berkata, apa yang merisaukan pihaknya adalah ketika hampir menjelang Aidilfitri nanti apabila ramai yang akan pulang ke kampung meninggalkan premis kediaman mereka tanpa memeriksa keadaan keselamatan rumah terlebih dahulu.

Katanya, orang ramai sepatutnya memastikan terlebih dahulu peralatan elektrik yang ditinggalkan dicabut plug selain memastikan pendawaian elektrik sama ada diubah suai dalam keadaan selamat untuk mengelak kebakaran berlaku.

"Disebabkan itulah kami di JBPM Kedah mengadakan program Ihya Ramadan bersama anggota dan pegawai di balai setiap hari bagi memastikan mereka bersiap sedia pada waktu malam.

"Biasanya pada bulan puasa ini agak aktif sikit pada waktu malam contohnya membakar kuih raya dan memasak juadah untuk bersahur dan berbuka puasa yang banyak menggunakan dapur memasak serta peralatan elektrik.

"Oleh yang demikian, anggota kami sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya kebakaran pada waktu malam atau awal pagi supaya harta benda dan nyawa dapat diselamatkan dengan cepat," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, semua 128 anggota PBB di JBPM Kedah akan bertugas membantu anggota tetap dalam menjalankan tugas operasi penyelamatan di setiap balai.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya sedang dalam proses pengambilan anggota PBB bagi mengisi tempat di BBP Pokok Sena yang dalam proses pembinaan dan BBP Pendang yang baru beroperasi bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 10:01 AM