Nurul Fhatihah Zakinan


SYARIKAT pengeluar makanan ringan di Melaka diarah untuk menurunkan papan iklan gergasi yang memaparkan perkataan singkatan bahasa Inggeris, ‘KTHXBYE’ (ok, thanks, bye) yang dipasang di jejantas di laluan utama, Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah -Jasin (AMJ), berhampiran Masjid Al-Azim, Peringgit di sini.

Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Mansor Sudin berkata, pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengeluarkan arahan itu berkuat kuasa serta-merta, pagi ini.

“Tidak boleh iklan begitu. Sudah diarahkan diturunkan (papan iklan) serta-merta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tinjauan Harian Metro, hari ini di lokasi itu bagaimanapun mendapati papan iklan berkenaan masih kekal di tempatnya, selain belum ada pihak kontraktor dilihat menurunkan papan iklan itu.

Terdahulu, dua keping gambar memaparkan penggunaan singkatan perkataan KTHXBYE serta maskot kartun pada papan iklan di jejantas itu yang dimuat naik di laman sosial sebelum ini tular di Facebook, baru-baru ini.

Tindakan itu mendapat kecaman netizen dan meninggalkan komen antaranya bahasa terbabit hanya difahami oleh pengguna ‘WeChat’ serta didakwa merosakkan bahasa kebangsaan.

Bagaimanapun, maskot kartun biru ‘Selamat Datang Ke Kampung Saya’ di papan iklan pada jejantas sama di sebelah pula tidak mendapat maklum balas sama ada perlu diturunkan atau kekal di tempatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 1:27 PM
SYARIKAT pengeluar makanan ringan di negeri ini diarah untuk menurunkan papan iklan gergasi yang memaparkan perkataan singkatan bahasa Inggeris, 'KTHXBYE' yang dipasang di jejantas di laluan utama, Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah -Jasin (AMJ), berhampiran Masjid Al-Azim, Peringgit. FOTO Rasul Azli Samad
SYARIKAT pengeluar makanan ringan di negeri ini diarah untuk menurunkan papan iklan gergasi yang memaparkan perkataan singkatan bahasa Inggeris, 'KTHXBYE' yang dipasang di jejantas di laluan utama, Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah -Jasin (AMJ), berhampiran Masjid Al-Azim, Peringgit. FOTO Rasul Azli Samad