Hasbi Sidek


POLIS Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya hari ini melupuskan 500 unit mesin judi yang dirampas ketika operasi di daerah ini yang dianggarkan bernilai RM500,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang, Superintendan Zaid Hassan berkata, pelupusan mesin slot dan simulator itu membabitkan 26 kertas siasatan yang sudah selesai.

“Kami mendapat arahan daripada majistret untuk lupuskan mesin perjudian komputer yang membabitkan 26 kertas siasatan bagi tahun 2016, 2017 dan awal 2018.

“Jumlah anggaran nilai keseluruhan mesin judi komputer yang dimusnahkan kira-kira RM500,000,” katanya ketika sidang media di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Pandan Indah, di Ampang Jaya, hari ini.

Terdahulu, Zaid menyempurnakan pelupusan mesin judi berkenaan menggunakan jengkaut pada 10.30 pagi tadi sambil disaksikan Penolong Pendaftar Mahkamah Fuad Jamdin.

Beliau berkata, bilangan mesin judi yang dilupuskan pada kali ini mencatatkan penurunan lebih 60 peratus berbanding sesi pelupusan yang lalu.

“Berlaku penurunan bilangan mesin judi yang besar seperti mesin slot dan komputer. Ini kerana sindiket judi sudah beralih arah dengan menggunakan telefon bimbit dan tablet selain tidak memerlukan premis untuk beroperasi.

“Berbanding pada majlis pelupusan mesin judi yang lalu, bilangan unit mesin mencatatkan lebih 1,000 unit. Jumlah ini akan semakin berkurangan pada sesi akan datang.

“Penggunaan gajet baru ini memudahkan mereka bergerak. Ia boleh mengelirukan pihak berkuasa untuk mengesan aktiviti mereka, namun polis sentiasa melakukan operasi dan siasatan untuk mengesan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 12:11 PM
TIMBALAN Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaid Hassan hadir pada pelupusan mesin perjudian komputer IPD Ampang Jaya. FOTO Saifullizan Tamadi
TIMBALAN Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaid Hassan hadir pada pelupusan mesin perjudian komputer IPD Ampang Jaya. FOTO Saifullizan Tamadi