S Somu (tengah) melupuskan mesin perjudian di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, di sini. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
S Somu (tengah) melupuskan mesin perjudian di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, di sini. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS daerah Sungai Buloh melupuskan 5,426 komputer dan komputer riba yang digunakan untuk judi dalam talian dianggar bernilai RM2.5 juta susulan 422 serbuan ke atas premis judi beroperasi secara haram sejak Oktober tahun lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan S Somu berkata, sepanjang tempoh serbuan dilakukan seramai 691 individu termasuk penjaga premis pusat judi haram dan pelanggan turut ditahan.

"Set komputer ini dilupuskan selepas kes selesai dibicarakan di mahkamah dan mendapat kebenaran mahkamah.

"Sehingga kini, operasi mengesan premis yang masih menjalankan kegiatan judi dalam talian masih giat dijalankan," katanya pada majlis Pelupusan Barang Kes Judi Online (JOL) di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh,di sini, hari ini.

Somu berkata, mesin judi yang dilupuskan itu merangkumi 2,133 unit komputer, komputer riba (3,048), tab (lima) serta wang tunai RM33,863 membabitkan 530 kertas siasatan.

"Kami melakukan serbuan drastik ke atas premis perjudian sekali gus daerah ini diisytihar bebas kegiatan mesin perjudian.

"Bagaimanapun, kami percaya ada individu tertentu cuba curi-curi menjalankan kegiatan ini secara sulit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 4:08 PM