Abdul Samad dibantu menggunakan jentolak sebagai simbolik Majlis Pelupusan Mesin Perjudian Komputer 2014 di Balai Polis Ara Damansara disini, pagi tadi.
Abdul Samad dibantu menggunakan jentolak sebagai simbolik Majlis Pelupusan Mesin Perjudian Komputer 2014 di Balai Polis Ara Damansara disini, pagi tadi.
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Sebanyak 3,038 unit mesin judi berkomputer bernilai RM1.5 juta dilupuskan polis Selangor hasil 806 serbuan di premis perjudian seluruh negeri ini sejak Oktober hingga Disember tahun lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samad Mat berkata, 2,295 premis yang melakukan kegiatan perjudian haram juga ditutup sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini pula sebanyak 4,239 mesin perjudian,2,204 komputer riba, 445 tablet dan 22 telefon bimbit dirampas.

"Polis turut menahan 1,301 individu dipercayai pemilik dan pemain judi bagi tujuan siasatan dan pendakwaan.

"Pihak kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti perjudian dan pemantauan berterusan akan dilaksanakan," katanya pada Majlis Pelupusan Mesin Perjudian Komputer 2014 di Balai Polis Ara Damansara disini, pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 1:55 PM