MANGSA cedera selepas digigit anjing liar di Sekolah Agama Rakyat Haji Awaluddin, Telok Kemang, Port Dickson, hari ini. FOTO ihsan polis.
MANGSA cedera selepas digigit anjing liar di Sekolah Agama Rakyat Haji Awaluddin, Telok Kemang, Port Dickson, hari ini. FOTO ihsan polis.
Mohd Khidir Zakaria


KANAK-KANAK lelaki berusia enam tahun cedera digigit anjing liar di Sekolah Agama Rakyat Haji Awaluddin, Telok Kemang, Port Dickson, hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian 2.20 petang itu mangsa sedang menunggu kelas dibuka.

“Mangsa dipercayai diserang anjing itu dan kejadian disedari seorang guru. Mangsa cedera di leher dan tangan dihantar ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk rawatan lanjut.

“Polis menerima maklumat kejadian dan segera ke lokasi menjalankan siasatan. Berdasarkan siasatan, anjing itu sering memasuki kawasan sekolah,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Aidi Sham berkata, polis memaklumkan kejadian itu kepada Bahagian Penguatkuasa Majlis Daerah Port Dickson (MPPD) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan stabil, namun masih dirawat di wad HPD.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 11:49 PM