PPM Wilayah 2 Johor menahan sebuah lori membawa minyak masak bersubsidi secara tidak sah di sekitar Endau. FOTO ihsan Polis Marin
PPM Wilayah 2 Johor menahan sebuah lori membawa minyak masak bersubsidi secara tidak sah di sekitar Endau. FOTO ihsan Polis Marin
Ibrahim Isa


TINDAKAN sebuah kilang sawit di Kuantan, Pahang menjual minyak masak bersubsidi tanpa kebenaran membawa padah apabila lori penghantaran minyak itu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 di Penyabong, Mersing, malam semalam.

Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, tangkapan pada 7 malam itu membabitkan rampasan minyak masak bersubsidi bernilai RM13,500 hasil intipan selama dua minggu.

“Ketika itu, pasukan Ops Landai MT PPM Wilayah 2 Mersing dan anggota URM PPM Wilayah 2 Johor melakukan pemantauan di sekitar Endau ternampak lori berkenaan dalam keadaan mencurigakan melepasi jambatan Endau dan menuju Penyabong.

“Ketika diekori lori berkenaan berhenti di hadapan sebuah pasar mini di jalan Penyabong, sebelum ketua operasi, Pegawai Pemerintah MT Mersing Inspektor Rosli Md Saad memperkenalkan diri dan meminta pemandu membuka bahagian belakang lori untuk pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan enam tangki berisi minyak masak dengan setiap tangki seberat 900 kilogram dengan jumlah keseluruhan sebanyak 5,400 liter.

Katanya, soal siasat ke atas pemandu yang juga lelaki tempatan berusia 53 tahun itu mendapati minyak masak itu dibawa dari sebuah kilang sawit di Kuantan, Pahang untuk dihantar ke Pasir Gudang.

“Berikutan itu, kami menahan pemandu, minyak masak dan lori bernilai RM70,000 bagi membantu siasatan mengikut Akta Bekalan 1961 dan Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998,” katanya.

Difahamkan, bekalan dihantar ke pemborong di sekitar Johor Bahru sejak tiga bulan lalu sebelum minyak masak itu dibungkus semula dan dijual kepada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 1:38 PM