MOHAMED Khaled (tengah) mendengar penerangan daripada Jebasingam (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran Insiatif Pembangunan Mersing di Tanjung Penyabong, Endau Mersing, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
MOHAMED Khaled (tengah) mendengar penerangan daripada Jebasingam (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran Insiatif Pembangunan Mersing di Tanjung Penyabong, Endau Mersing, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Fahmi Mohd Yusof


LEBIH 20,000 penduduk daerah Mersing menerima khabar gembira apabila kerajaan negeri mengumumkan keutamaan projek pembinaan laluan bertingkat dan jambatan baru Sungai Mersing bernilai RM170 juta selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Projek laluan bertingkat dan jambatan baru yang akan dibangunkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu bakal mengubah landskap Mersing, selain menyelesaikan masalah kesesakan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keutamaan itu juga sebagai satu daripada usaha kerajaan negeri mentranformasikan Mersing sebagai daerah pelancongan.

“Hari ini saja, lebih RM100 juta kita umumkan (Inisiatif Pembangunan Mersing), tidak termasuk projek jambatan yang menjadi fokus utama.

“Selepas PRU-14, kita akan pastikan ia (projek laluan bertingkat dan jambatan) mendapat persetujuan kerajaan pusat. Ia dijadikan sebagai senarai teratas (keutamaan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Inisiatif Pembangunan Daerah Mersing di Tanjung Penyabong, Mersing, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Seri Jebasingam Issace John, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani serta penyandang Ahli Parlimen Mersing Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Katanya, fokus kerajaan negeri sememangnya mahu memastikan setiap daerah bukan saja di Johor Bahru mendapat manfaat dan limpahan pembangunan.

Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut mengumumkan beberapa projek yang tersenarai dalam inisiatif berkenaan membabitkan peruntukan lebih RM100 juta.

Antaranya, pembangunan 275 hektar tanah untuk dijadikan Lembah Tenusu di Jemaluang yang dijangka menghasilkan empat juta liter susu segar menjelang 2021 dan mewujudkan pekerjaan baharu untuk penduduk tempatan.

Projek lain ialah Taman Pemprosesan Ikan Bersepadu Endau-Mersing (RM26.5 juta), pelancongan Kampungstay Air Papan (RM15 juta) dan Jeti Sungai Jemaluang (RM1 juta).

Selain itu, pembangunan Pelancongan Tanjung Penyabong, naik taraf kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Simpang Tenggaroh (RM1.5 juta) serta pemasangan lampu jalan dari Persimpangan Tenggaroh ke Tanjung Leman (RM1.2 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 2:03 PM