PASUKAN bersama barang rampasan. FOTO IHSAN FB PPM WILAYAH DUA
PASUKAN bersama barang rampasan. FOTO IHSAN FB PPM WILAYAH DUA
Omar Ahmad


TINDAKAN seorang lelaki menyembunyikan rokok seludup dalam lori yang membawa barangan plastik gagal apabila dapat dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Mersing, kelmarin.

Komander PPM Wilayah 2 Johor Asisten Komisioner Abdul Rahman Mohamad berkata, rokok tidak bercukai itu ditahan bersama sebuah lori 5 tan semasa rondaan Op Covid dan Op Bersepadu Pintasan Selatan.

Katanya, polis mengekori lori yang mencurigakan itu sehingga Kilometer 1, Jalan Jemaluang, Mersing.

"Lori itu ditahan untuk pemeriksaan. Seorang lelaki berumur 48 tahun yang merupakan pemandu dan juga pemilik lori tersebut dalam perjalanan dari Kluang ke Endau untuk penghantaran barangan plastik.

"Hasil pemeriksaan, kami menemui sejumlah rokok tidak bercukai yang menyalahi undang-undang di bawah Akta Kastam 1967 yang diletakkan di ruangan tengah lori yang disembunyikan dengan barangan plastik di bahagian atas kotak yang berisi rokok.

"Anggaran nilai rampasan berjumlah RM89,418. Semua rampasan rokok dan lori dibawa balik ke Pejabat PPM Mersing untuk pemeriksaan dan tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook PPM Wilayah 2, hari ini.

Menurutnya, suspek dan rampasan kemudian diserahkan kepada Pengawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 4:59 PM