Antara peralatan yang dirampas polis dalam serbuan hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Antara peralatan yang dirampas polis dalam serbuan hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Azam Shah Yaacob


TIGA lelaki warga asing yang juga ahli sindiket judi ‘online’ tergamam apabila pusat operasi mereka di Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur ‘dilawati’ polis 2.50 pagi hari ini.

Dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur, dua lelaki warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh itu baru hendak memulakan operasi judi berkenaan.

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Rohazah Alwi berkata, sindiket judi itu sudah beroperasi sejak sebulan lalu dan hanya beroperasi awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya, berbeza dengan sindiket judi online lain, sindiket itu turut membenarkan pelanggan datang berjudi secara online di premis berkenaan menggunakan peralatan komputer yang disediakan.

“Menerusi siasatan, sindiket judi itu memulakan operasi dengan menawarkan khidmat judi bermula jam 2 pagi sehingga lewat pagi.

“Mereka hanya berurusan dengan kaki judi yang juga pelanggan tetap mereka atau dengan pelanggan baru yang diperkenalkan oleh kaki judi lain,” katanya hari ini.

Rohazah berkata, tiga ahli sindiket yang ditahan berusia 20 hingga 32 tahun itu berperanan sebagai penjaga serta operator sindiket judi berkenaan.

Katanya, warga asing berkenaan dibayar RM1,400 sebulan bagi mengurus premis terbabit.

“Selain menahan tiga lelaki warga asing terbabit, polis turut merampas beberapa peralatan lain seperti 11 unit komputer riba, tetikus (11 unit), modem wifi (1 unit) serta wang tunai RM151,” katanya.

Menurut Rohazah, semua warga asing berkenaan ditahan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki permit kerja yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 5:50 PM