MOHAMAD (kiri) bersama Mohd Khaizam menunjukkan barang dirampas daripada sindiket menawarkan khidmat perjudian atas talian di Jalan Ampang Putra, Ampang, dalam serbuan hari ini.
MOHAMAD (kiri) bersama Mohd Khaizam menunjukkan barang dirampas daripada sindiket menawarkan khidmat perjudian atas talian di Jalan Ampang Putra, Ampang, dalam serbuan hari ini.
Mohd Azam Shah Yaacob


KEGILAAN rakyat di negara ini untuk mendapat keuntungan mudah dapat dilihat apabila hampir RM800,000 dipertaruhkan dalam permainan judi atas talian.

Jumlah pertaruhan itu diperoleh dalam tempoh 19 hari dijalankan satu sindiket menawarkan perkhidmatan judi atas talian yang beroperasi di Jalan Ampang Putra, Ampang.

Namun, kegiatan sindiket itu dikesan dalam serbuan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor diketuai Pegawai Turusnya, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin di premis berkenaan pada 1 tengah hari, hari ini.

Dalam serbuan menerusi Ops Dadu itu, seramai tujuh individu berusia antara 20 tahun hingga 29 tahun, ditahan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan Operasi) Selangor, Asisten Komisioner Mohamad Abd Hamid berkata, sindiket dipercayai dimiliki warga tempatan sudah beroperasi di situ sejak empat bulan lalu dan sering berpindah-randah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya, hasil siasatan mendapati sindiket itu menawarkan pautan perkhidmatan judi atas talian kepada pelanggan menerusi pesanan dihantar menggunakan aplikasi seperti WhatsApp, WeChat, Facebook, Instagram dan BeeTalk kepada pelanggan.

“Dalam serbuan itu, polis menemui senarai nombor telefon pelanggan dipercayai diperoleh sindiket itu daripada pihak ketiga.

“Selain itu, turut ditemui adalah transaksi pertaruhan dibuat pelanggan menerusi sindiket berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.

Mohamad berkata, hasil semakan mendapati sindiket itu memperoleh lebih RM50,000 berdasarkan pertaruhan RM800,000 dibuat pelanggan dalam tempoh 19 hari.

Beliau berkata, dalam serbuan itu polis merampas lapan unit komputer, komputer riba (6 buah), telefon bimbit (11 unit), kad prepaid (92 keping) dan sekeping kad bank.

“Tujuh individu ditahan pula membabitkan tiga lelaki dan tiga wanita tempatan bersama seorang wanita warga Indonesia.

“Pekerja yang ditahan itu diberi komisyen 10 peratus bagi setiap wang pertaruhan dibuat pelanggan.

“Kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 5:55 PM