Pusat hiburan di tingkat lima, sebuah pusat beli-belah di Kepong, Kuala Lumpur yang diserbu pasukan D7, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, awal pagi semalam.
Pusat hiburan di tingkat lima, sebuah pusat beli-belah di Kepong, Kuala Lumpur yang diserbu pasukan D7, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, awal pagi semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN sepasukan anggota polis yang menyamar sebagai pelanggan sebuah pusat hiburan di Kepong, Kuala Lumpur, berjaya menghalang wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dan pelanggan di premis berkenaan melarikan diri dalam serbuan awal pagi, semalam.

Dalam operasi jam 2.30 pagi itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur, menutup satu daripada dua laluan yang ada dalam pusat hiburan di tingkat lima, pusat beli belah di Kepong terbabit.

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Rohazah Alwi berkata, seramai 15 wanita warga Vietnam, China dan Thailand serta 79 pelanggan tempatan, termasuk tujuh lelaki bawah umur diperiksa dalam operasi itu.

Katanya, sebaik anggotanya mengawasi satu lagi laluan keluar, sebahagian lagi pegawainya melakukan serbuan menerusi pintu utama.

“Ketika serbuan dibuat, sebahagian pelanggan sedang leka berhibur di ruang tarian, selain berada di kerusi dan meja dalam keadaan gelap bersama wanita warga asing yang dilanggan mereka.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan, 12 pengunjung didapati positif pelbagai jenis dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rohazah berkata, semakan mendapati semua pelanggan tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

“Selain 15 wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai (GRO), kami turut menahan dua wanita warga China dan dua lelaki warga Bangladesh dipercayai bekerja sebagai penghantar minuman serta seorang lelaki tempatan yang dipercayai penjaga premis,” katanya.

Katanya semua wanita warga asing terbabit ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, manakala mereka yang didapati positif dadah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam serbuan sama, polis turut merampas resit perniagaan ketika premis itu beroperasi, peralatan audio, pemain cakera laser, sistem pengendalian lampu pentas, mikrofon dan wang tunai.

Sebelum ini, serbuan kerap dilakukan terhadap pusat hiburan itu, namun pemiliknya masih berdegil dengan membenarkan aktiviti tidak bermoral seperti pembabitan pelayan wanita asing serta penyalahgunaan dadah dilakukan di dalam premis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 1:40 AM