Hadzlihady Hassan

TIGA lelaki termasuk dua penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah daripada pemilik syarikat lori di Pulau Pinang.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret L Umma Devi di Georgetown, hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mereka yang direman itu adalah antara 21 penguatkuasa JPJ yang ditahan dalam fasa ketiga untuk memberi keterangan di pejabat SPRM, semalam.

Difahamkan, dua daripada mereka adalah penguatkuasa JPJ Pulau Pinang dan JPJ Perlis, manakala seorang lagi adalah bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kini bekerja dengan syarikat bas di Perak.

Mereka dilihat tiba di mahkamah 10.10 pagi dengan diiringi pegawai SPRM sebelum keluar sejam kemudian.

Sebelum ini, dalam fasa pertama seramai 24 penguat kuasa JPJ di reman SPRM.

Dalam fasa kedua pula, seramai 22 pegawai JPJ dipanggil memberi keterangan dan lima daripadanya kemudian direman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 11:58 AM
TIGA lelaki termasuk dua penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) direman di Mahkamah Georgetown, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. FOTO Danial Saad
TIGA lelaki termasuk dua penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) direman di Mahkamah Georgetown, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. FOTO Danial Saad