IVAN (dua kanan) bergambar bersama motosikal Harley Davidson dan British Short Harms. FOTO Zulkepli Osman
IVAN (dua kanan) bergambar bersama motosikal Harley Davidson dan British Short Harms. FOTO Zulkepli Osman
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KELAB Motosikal Klasik British Kuantan dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) daerah ini akan menganjurkan Festival Antarabangsa Motosikal Klasik untuk mengutip dana membantu kanak-kanak autisme.

Penasihat NASOM Kuantan Zuairiah Mohd Noor berkata, aktiviti berlangsung pada 26 hingga 28 April ini di Kuantan akan menghimpunkan 400 pemilik motosikal klasik dari seluruh negara termasuk dari negara jiran.

“Kelab Motosikal Klasik British Kuantan bersetuju meminjamkan dua motosikal klasik untuk membantu kita mendapatkan kutipan pada festival itu.

“Dengan membayar RM5 orang ramai boleh bergambar dengan motosikal klasik yang dipamerkan. Selain itu, mereka yang ingin merasai pengalaman membonceng motosikal klasik boleh membayar RM10.

“Caj dikenakan akan disalurkan kepada tabung NASOM Kuantan. Ia sebagai aktiviti untuk kita kumpul dana bagi meneruskan kelangsungan operasi persatuan ini yang banyak membantu kanak-kanak autisme,” katanya.

Zuairiah berkata, aktiviti itu dirancang sempena bulan kesedaran autisme sedunia yang disambut setiap 2 April untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai autisme.

Katanya, NASOM Kuantan juga akan membuka gerai pada festival itu dan menjual barangan kraftangan dihasilkan pelajar autisme.

Beliau berharap aktiviti itu mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada segenap lapisan masyarakat yang boleh melihat koleksi motosikal klasik secara dekat sambil beramal.

Sementara itu, pemilik Ivan Passell, 68, bersetuju meminjamkan dua motosikal klasik miliknya bagi menyokong NASOM Kuantan mengumpul dana membantu kanak-kanak autisme.

“Motosikal model Harley Davidson keluaran 1916 dan British Short Harms yang mempunyai tempat duduk penumpang di sebelah akan dipinjamkan untuk orang ramai berswafoto dan membonceng,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 2:39 PM