NAMRON (kiri) dan Remy Ishak dalam filem Redha.
NAMRON (kiri) dan Remy Ishak dalam filem Redha.
Syanty Octavia Amry


Sempena Bulan Kesedaran Autisme yang jatuh pada April, Golden Screen Cinemas Sdn Bhd (GSC) akan memaparkan warna biru dalam usaha meningkatkan kesedaran umum mengenai penyakit itu.

Dalam kempen itu, platform dalam talian GSC akan berwarna biru dan laman media sosialnya akan memaparkan petikan mengenai autisme.

Selain itu, kakitangan pawagam berkenaan juga akan memakai butang lencana biru sebagai menyokong inisiatif meningkatkan kesedaran terhadap autisme sepanjang bulan ini.

Usaha meningkatkan kesedaran sangat penting kerana ia adalah langkah pertama untuk menyelami perasaan dan mendapatkan penerimaan untuk semua individu serta keluarga mereka yang terpaksa berdepan stigma sosial atau pandangan serong masyarakat terhadap autisme.

Selain paparan warna biru, GSC akan menayangkan filem tempatan berjudul Redha mengenai kehidupan pasangan yang mempunyai anak lelaki autistik.

Filem ini hasil sentuhan pengarah Tunku Mona Riza yang mahu menonjolkan nasib keluarga dan individu autisme.

Melalui setiap tiket Redha yang dijual di GSC, RM1 akan didermakan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) untuk membiayai aktiviti yang mereka jalankan.

Filem Redha akan mula ditayangkan di seluruh negara mulai 14 April ini.

Orang ramai boleh merujuk laman GSC di www.gsc.com.my dan Aplikasi Mudah Alih GSC untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini di media sosial GSC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:01 AM