ANGGOTA bomba memberi bantuan kepada mangsa. FOTO ihsan JBPM
ANGGOTA bomba memberi bantuan kepada mangsa. FOTO ihsan JBPM
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KANAK-kanak lelaki menanggung kesakitan hampir 30 minit apabila satu daripada jari tangan kanannya tersepit pada tombol pintu dalam kejadian di Sungai Karang Darat, Kuantan, kelmarin.

Dalam kejadian 8.45 malam, mangsa berusia sembilan tahun dikatakan secara tidak sengaja memasukkan jari ke dalam lubang tombol itu sebelum gagal mengeluarkannya.

Difahamkan, kejadian disedari ahli keluarga mangsa yang kemudian cuba membantu namun gagal.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata, selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng dikejarkan ke lokasi.

Katanya, anggota bomba melakukan pemeriksaan awal ke atas tombol pintu dan jari mangsa sebelum mengambil keputusan memotong tombol besi itu.

“Anggota mengambil masa kira-kira 10 minit memotong tombol pintu menggunakan alat pemotong khas serta playar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan jarinya berjaya dikeluarkan dengan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 3:23 PM