GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Garret Dawum


SURI rumah ditahan kerana dipercayai mendera anak angkatnya berusia tujuh tahun di Kampung Bogag, Bau semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu selepas pegawai perubatan yang hadir ke sekolah kanak-kanak perempuan itu mendapati ada kesan luka.

“Ketika membuat pemeriksaan dan memberikan vaksin kepada mangsa, doktor ternampak ada kesan luka baru dan lama pada badannya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesan luka pada tangan dan kaki mangsa sebelum beliau memaklumkan perkara itu kepada guru besar,” katanya hari ini.

Poge berkata, selepas doktor memaklumkan kepada pihak atasannya, beliau diarahkan membuat laporan polis.

“Polis kemudian menangkap suspek berusia 25 tahun di rumahnya pada 4.50 petang semalam untuk siasatan lanjut.

“Mangsa dijaga suspek dan suaminya sejak 2017.

“Suami suspek memberitahu isterinya sering mencubit mangsa ketika di rumah kerana marah dan ingin menegur.

“Suami suspek juga sudah berkali-kali menegur isterinya supaya tidak berkasar ketika mengajar mangsa,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak itu sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 2:22 PM