Garret Dawum


KESAN lebam pada leher seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun membongkarkan perbuatan keji seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU).

Susulan itu, suspek yang berusia 26 tahun serta tidak bekerja ditahan polis kelmarin, selepas pegawai perubatan yang memeriksa kanak-kanak terbabit mendapati lebam itu sebenarnya ‘gigitan cinta’.

Difahamkan, mangsa dihantar oleh ibunya ke Hospital Bau selepas bimbang keselamatan anaknya apabila terdapat kesan calar pada tangan dan lebam di leher.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, suspek direman semalam untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek sudah berkenalan sejak September 2017 dan pada 28 Januari lalu, mangsa dijemput suspek ke rumahnya.

“Kanak-kanak terbabit mengaku melakukan hubungan seks dengan lelaki itu yang dikenalinya menerusi WeChat.

“Mangsa juga dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) semalam untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Poge berkata, suspek mempunyai kecacatan fizikal akibat kemalangan jalan raya dan pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 2:38 PM