SUSPEK kes bunuh tukang jahit, Wong Chong Ming, 43. FOTO Ihsan Pdrm
SUSPEK kes bunuh tukang jahit, Wong Chong Ming, 43. FOTO Ihsan Pdrm
Garret Dawum


POLIS sedang mengesan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kes bunuh tukang jahit yang mayatnya ditemui di dalam bagasi di Kampung Pengkalan Baik, Bau, 19 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, lelaki terbabit yang dikenali sebagai Wong Chong Ming, 43, adalah suspek ketiga kes itu.

“Kami mencari suspek yang beralamat di Lot 937, Jalan Nangka 1, Pujut 1A, Miri bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Poge berkata, dua suspek bagi kes itu membabitkan seorang lelaki berusia 28 tahun dan wanita berusia 56 tahun sudah ditahan.

“Suspek pertama ditahan pada malam kejadian dan suspek kedua ditahan Sabtu lalu.

“Tempoh reman kedua-dua suspek yang sudah tamat disambung selama lima hari bagi suspek pertama dan empat hari bagi suspek kedua,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan suspek ketiga kes boleh berhubung dengan Asisten Superintendan Mohd Farid Abd Ghani di talian 017-8181299.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan penemuan mayat mangsa di dalam bagasi.

Mangsa yang juga tukang jahit berusia 50-an sebelum itu dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi keluarganya.

Setakat ini, telefon bimbit mangsa sudah dijumpai dan polis akan mengumpul lebih banyak bahan bukti berkaitan bagi merungkai kes pembunuhan itu.

Berita berkaitan

Suspek sudah diberkas

Darah keluar dari bagasi....

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 3:09 PM