Garret Dawum


SUSPEK kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya dijumpai di dalam bagasi di Kampung Pengkalan Baik, Bau, sudah ditahan polis.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

“Seorang suspek sudah ditahan dan perintah reman sudah dipohon bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Poge berkata, pengecaman mayat juga sudah dibuat isteri mangsa di Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) berdasarkan pakaian dan kasut yang dipakai.

Dalam kejadian itu, orang awam yang sedang menangkap ikan menemui satu bagasi yang terapung di sungai Kampung Pengkalan Baik kira-kira jam 6 petang semalam, sebelum menghubungi balai bomba dan penyelamat.

Anggota bomba yang membuka bagasi itu menemui mayat lelaki lengkap berpakaian dengan mata ditutup pita pelekat.

Berita berkaitan

Darah keluar dari bagasi....

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 3:03 PM