Laporan Harian Metro, sebelum ini
Laporan Harian Metro, sebelum ini
Nurul Hidayah Bahaudin


“WALAUPUN ada anak yang lain di sisi saya, namun saya amat merindui Zahir. Ternyata Ramadan kali ini tidak sempurna dengan ketiadaannya bersama kami,” kata Sainih Sunding, 45, ibu kepada kanak-kanak yang dilaporkan hilang berhampiran rumahnya di Bandar Seri Putra di Bangi, sejak 15 April lalu.

Mangsa, Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, atau lebih mesra dengan panggilan Zahir itu dikatakan keluar dari rumahnya kira-kira jam 8 pagi pada 15 April lalu untuk bermain bersama rakannya sebelum dilaporkan hilang.

Sainih berkata, dia sedih mengenangkan nasib anak lelakinya itu yang belum ditemui sehingga kini selepas lebih tiga minggu dilaporkan hilang.

“Setiap hari saya berdoa semoga dia ditemukan dalam keadaan selamat.

“Sambutan Ramadan kali ini dirasakan amat berbeza kerana ketiadaan Zahir apabila terkenangkan setiap perkara dilakukannya setiap kali bulan puasa termasuk menunaikan solat Tarawih bersama rakan-rakan di surau berhampiran rumah.

“Sikap Zahir yang tidak memilih apa jua juadah yang dihidangkan ketika berbuka menyebabkan saya amat merindui dan terkenangkannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sainih berkata, dia masih menunggu perkembangan terbaru atau petunjuk kukuh mengenai kehilangan anak bongsunya itu.

“Sehingga kini, saya masih berikhtiar mencari Zahir di kawasan sekitar termasuk Kajang dan Nilai, Negeri Sembilan terutama di kawasan perhentian bas memandangkan dia pernah menaiki pengangkutan awam itu sebelum ini.

“Pada masa sama, saya masih menunggu pihak polis untuk memberikan perkembangan lanjut kepada kami mengenai jejak Zahir menerusi pencarian dilakukan pihaknya,” katanya yang juga seorang tukang cuci.

Sebelum ini dilaporkan kehilangan kanak-kanak itu disedari ibunya sebaik tiba di rumahnya selepas pulang dari tempat kerja kira-kira 7 malam, 15 April lalu.

Bapa mangsa, Mohd Fauzi Abdul Ghaffar, 45, melaporkan kehilangan anak lelakinya itu di Balai Polis Bangi, awal pagi 16 April lalu sebelum kejadian itu turut dihebahkan melalui Nur Alert.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 6:19 PM