ZAHIR
ZAHIR
Nurul Hidayah Bahaudin


BANGI: Kelibat kanak-kanak lelaki dikatakan seiras Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, sukar dicam kerana imej dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah pusat perubatan Islam di sini, tidak jelas.

Sebelum itu, kanak-kanak yang mesra dipanggil Zahir dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya untuk bermain bersama rakan di Bandar Seri Putra di sini, sejak Isnin lalu.

Ibu mangsa, Sainih Sunding, 46, berkata dia pergi ke pusat perubatan berkenaan bagi melihat sendiri rakaman CCTV terbabit.

“Rakaman (CCTV) itu tidak jelas dan sukar untuk saya mengesahkan sama ada kanak-kanak berkenaan adalah Zahir.

“(Fizikal) kanak-kanak itu nampak macam berisi sedikit jika dibandingkan dengan Zahir. Malah, warna baju yang dipakainya juga tidak sama,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sainih yang bekerja sebagai pencuci berkata, dia dimaklumkan pihak polis mengenai maklumat itu, awal pagi semalam.

“Saya dimaklumkan ada orang yang melihat kanak-kanak lelaki seiras Zahir di kawasan berkenaan melalui rakaman CCTV.

“Ketika ini, saya berharap Zahir pulang ke pangkuan keluarga dengan segera dalam keadaan selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi Penguasa Bomba Rosman Majid berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak berkenaan di sekitar Sungai Semenyih, sudah dihentikan.

“Operasi itu dihentikan berdasarkan petunjuk baru diperoleh pihak polis mengenai lokasi mangsa.

“Kami bersedia memberi bantuan sekiranya khidmat pihak bomba diperlukan oleh polis dalam usaha mengesan kanak-kanak terbabit,” katanya.

Harian Metro pada Selasa lalu melaporkan kehilangan Zahir disedari ibunya sebaik tiba di rumahnya selepas pulang dari tempat kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 7:03 AM