Laporan Harian Metro, sebelum ini.
Laporan Harian Metro, sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


LEBIH 30 saksi sudah dirakam keterangan bagi mencari kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di sebuah flat di Bandar Seri Putra di Bangi sejak 15 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kesemua saksi terbabit terdiri daripada ahli keluarga mangsa serta rakan sekolahnya.

“Gerakan mencari kanak-kanak terbabit tidak pernah dihentikan dan sedang giat dijalankan. Lebih 30 saksi sudah dirakam keterangan bagi mengesan jejak kanak-kanak lelaki itu.

“Konsep pencarian kini bertambah luas dengan bertumpu di seluruh kawasan Kajang selain daerah berhampiran selepas operasi mencari dengan bantuan pihak bomba dan APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) sebelum ini gagal mengesan mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Superheroes Challenge Sempena Hari Polis Ke-212 anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di Semenyih Ecoventure Resort and Recreation di Semenyih, hari ini.

Mangsa, Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, dikatakan keluar dari rumahnya kira-kira jam 8 pagi untuk bermain bersama rakannya sebelum dilaporkan hilang.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya masih belum mendapat petunjuk positif berhubung lokasi kanak-kanak berkenaan.

“Kami menyiasat semua aspek termasuk unsur jenayah bagi merungkai misteri kehilangan kanak-kanak ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan kanak-kanak itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Farah Nadia Mohd Hashim ditalian 012 3600232 atau hubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kehilangan kanak-kanak itu disedari ibunya, Sainih Sunding, 46, sebaik tiba di rumahnya selepas pulang dari tempat kerja kira-kira 7 malam, 15 April lalu.

Bapa mangsa, Mohd Fauzi Abdul Ghaffar, 45, kemudiannya melaporkan kehilangan anak lelakinya itu di Balai Polis Bangi pada awal pagi keesokkannya sebelum kejadian itu turut dihebahkan melalui Nur Alert.

Berita berkaitan

Zahir di mana?

Berita berkaitan

Zahir di Bandar Tasik Selatan?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 2:54 PM