ANGGOTA Bomba bersama APM memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi , 8, di sekitar 7km Sungai Semenyih. FOTO/ MOHD YUSNI ARIFFIN
ANGGOTA Bomba bersama APM memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi , 8, di sekitar 7km Sungai Semenyih. FOTO/ MOHD YUSNI ARIFFIN
Nurul Hidayah Bahaudin


“SELAGI tiada bukti yang menyatakan dia sudah tiada, selagi itu kami sekeluarga percaya Zahir masih hidup,” kata Mohd Fauzi Abdul Ghaffar, 45, bapa kepada kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di sebuah flat di Bandar Seri Putra di sini, sejak 15 April lalu.

Muhammad Zahiruddin Putra, 8, yang mesra dengan panggilan Zahir dikatakan keluar dari rumah kira-kira jam 8 pagi untuk bermain bersama rakannya sebelum dilaporkan hilang.

Mohd Fauzi berkata, walaupun sudah lebih empat bulan anak lelakinya itu dilaporkan hilang, namun dia tidak pernah berhenti berusaha mencari kanak-kanak itu sehingga kini.

“Setiap hari, saya masih meneruskan usaha mencari Zahir menggunakan pelbagai cara termasuk mengedar risalah di setiap pasar malam yang dijadikan sebagai lokasi saya menjual minyak wangi di sekitar Bandar Seri Putra, Bangi serta Nilai, Negeri Sembilan.

“Tidak pernah sedikit pun terlintas di fikiran saya untuk melupakan hasrat mencari Zahir, apatah lagi menganggapnya sudah tiada selagi tiada bukti menunjukkan perkara itu,” katanya di sini, semalam.

Katanya, besar harapan untuk menemui semula anaknya itu walaupun tiada maklumat terbaharu diterima.

FAUZI
FAUZI

“Saya percaya Zahir masih hidup dan amat besar harapan saya supaya kami sekeluarga dapat menemuinya semula.

“Saya reda dengan kehilangan Zahir, namun usaha untuk mencarinya sehingga bertemu tidak pernah padam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya masih menjalankan operasi mencari kanak-kanak berkenaan.

MUHAMMAD Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Seri Putra, Kajang, semalam, turut dihebahkan melalui Nur Alert. FOTO/EMAIL
MUHAMMAD Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Seri Putra, Kajang, semalam, turut dihebahkan melalui Nur Alert. FOTO/EMAIL

“Operasi pencarian masih dijalankan dan tidak pernah terhenti sejak ia dimulakan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan kanak-kanak itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Farah Nadia Mohd Hashim di talian 012 3600232 atau balai polis berhampiran.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kehilangan kanak-kanak itu disedari ibunya, Sainih Sunding, 46, sebaik tiba di rumah selepas pulang dari tempat kerja jam 7 malam, 15 April lalu.

Mohd Fauzi kemudian melaporkan kehilangan anak lelakinya itu di Balai Polis Bangi keesokannya.

Kejadian itu turut dihebahkan melalui Nur Alert.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 6:10 AM