Siti A’isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Kesihatan merekodkan 63 jumlah kematian akibat denggi di seluruh negara bermula 1 Januari hingga 13 April lalu.

Maklumat itu dikeluarkan Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan dan ia dimuat naik menerusi laman rasmi http://idengue.remotesensing.gov.my.

Selain itu, statistik turut menunjukkan sebanyak 40,448 kes denggi di seluruh negara bermula 30 Disember tahun lalu hingga semalam dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 23,681 kes.

Ia diikuti Kuala Lumpur (3,378 kes), Johor (3,194 kes), Pulau Pinang (2,259 kes), Sabah (1,837 kes), Kelantan (1,247 kes) dan Perak (1,098 kes).

Pada 2 April lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, nyamuk yang disuntik bakteria Wolbachia akan dilepaskan di 10 lokaliti dikenal pasti pada Julai ini bagi mengatasi peningkatan wabak denggi di kawasan berkenaan.

Beliau dipetik berkata, pelepasan nyamuk itu dijangka mampu menurunkan kes denggi di kawasan terbabit antara 60 hingga 70 peratus, sekali gus mampu mengurangkan kadar kematian akibat denggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 2:58 PM