Siti A’isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Kesihatan merekodkan 30,448 kes denggi di seluruh negara bagi tempoh 30 Disember lalu hingga 12 Mac lalu.

Menurut statistik dikeluarkan Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan, daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 17,717 kes denggi berbanding negeri lain.

Ia diikuti Johor (2,516 kes); Kuala Lumpur (2,419 kes); Pulau Pinang (1,875 kes) manakala Sabah (1,387 kes).

Selain itu, jumlah kes kematian direkodkan 50 orang bagi tempoh 1 Januari hingga 9 Mac.

Data mengenai kes denggi di seluruh negara serta jumlah kes kematian itu dipaparkan menerusi laman web http://idengue.remotesensing.gov.my hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, kementeriannya berhasrat memperluas penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) ke seluruh negara bagi membasmi wabak denggi di negara ini.

Beliau dipetik berkata, penggunaan teknologi itu sudah dilaksanakan di Pulau Pinang dan berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Perubatan, ia menunjukkan tahap keberkesanannya dalam membasmi dan mengelak pembiakan nyamuk aedes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 3:52 PM