TIGA bot nelayan Vietnam ditahan di APMM Kemaman. FOTO Rosli Ilham
TIGA bot nelayan Vietnam ditahan di APMM Kemaman. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga bot nelayan asing ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Pahang.

Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) APMM Pahang, Kapten (Maritim) V Pannir Selvan berkata, semua bot berkenaan ditahan di kedudukan 70 batu nautika dari Kuantan, kira-kira jam 5 petang, semalam.

Katanya, ketika menjalankan rondaan, kapal peronda APMM terserempak dan mengesan ketiga-tiga bot berkenaan melakukan aktiviti menangkap ikan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, tiga bot ini menggunakan nombor pendaftaran Vietnam dan gagal mengemukakan dokumen kebenaran menangkap ikan.

“Pemeriksaan terhadap 31 awak-awak dan tiga tekong warga Vietnam berusia antara 18 hingga 60 tahun mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah,” katanya ketika sidang media di Jeti APMM Kemaman, Chukai, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap semua bot ditahan menemui pelbagai jenis ikan melebihi dua tan hasil tangkapan dilakukan di perairan negara ini.

“Semua warga asing ini ditahan manakala bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM3 juta dirampas sebelum dibawa ke Jeti APMM Kemaman untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dan Akta Perikanan 1985 kerana memasuki serta menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, tekong terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta setiap seorang dan penjara tidak melebihi tiga tahun.

“Sementara awak-awak bakal menghadapi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 setiap seorang dan penjara tidak melebihi dua tahun.

“Sehingga hari ini, APMM Pahang sudah melakukan 344 pemeriksaan dan 18 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 7:47 PM