Bot nelayan asing yang ditahan kerana menceroboh perairan negara di Kudat. FOTO Ihsan APMM
Bot nelayan asing yang ditahan kerana menceroboh perairan negara di Kudat. FOTO Ihsan APMM
Juwan Riduan
am@hmetro.com.my


Kudat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam bersama 20 nelayan di perairan daerah ini, kelmarin.

Dalam kejadian 10.15 pagi itu, bot nelayan asing Vietnam itu didapati masuk tanpa kebenaran dipercayai untuk mengaut hasil laut negara sebelum dikesan anggota APMM Kudat pada jarak 34 batu nautika dari Tanjung Simpang Mengayau.

Pengarah Zon Maritim Kudat Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan asing itu membawa 20 nelayan membabitkan tekong dan awak-awak berusia antara 18 hingga 51 tahun.

Katanya, semua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri disyaki warga Vietnam.

"Pemeriksaan juga menemukan peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan ikan pelbagai jenis.

"Bot bersama tekong dan awak-awak seterusnya di bawa ke Jeti Maritim Kudat untuk siasatan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Pengarah Perikanan.

"Selain itu, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"APMM akan terus komited dalam usaha membanteras kegiatan jenayah di laut," katanya.

Sebarang salah laku jenayah dan kecemasan yang berlaku di laut boleh dilaporkan kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 2:57 PM