Bot nelayan Vietnam yang ditahan penguat kuasa Selasa lalu. FOTO Ihsan APMM
Bot nelayan Vietnam yang ditahan penguat kuasa Selasa lalu. FOTO Ihsan APMM
Ibrahim Isa


BUKAN saja menceroboh perairan negara, tujuh nelayan Vietnam turut menggunakan renjatan elektrik bagi mengaut keuntungan berganda ketika menangkap ikan di perairan Kuala Rompin, Pahang, Selasa lalu.

Tidak cukup itu, mereka cuba memberi suapan ketika siasatan dijalankan sebelum tujuh lelaki itu ditahan dan dibawa pulang ke Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Mersing.

Pengarahnya Komander Maritim Haris Fadzilah Abdullah berkata, kumpulan nelayan itu diberkas selepas cuba melarikan diri daripada pasukan APMM yang menjalankan Operasi Jasa di kawasan berhampiran dalam kejadian 11.45 pagi.

“Bertindak atas maklumat awam dan risikan, sepasukan APMM mengesan sebuah bot nelayan pada kedudukan 3 batu nautika Timur Laut Pulau Tokong Burung berhampiran Kuala Rompin, Pahang.

“Selepas memperkenalkan diri dan memberi amaran untuk tujuan pemeriksaan, tekong dan enam awak-awak kapal berkenaan cuba melarikan diri namun kami berjaya mengejar dan memintas kapal berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati tekong dan enam awak-awak warga Vietnam berusia 27 hingga 48 tahun itu tiada dokumen perjalanan sah,” katanya pada sidang media di Pejabat APMM Zon Maritim Mersing hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas kapal itu menemui peralatan menangkap ikan termasuk alat perenjat elektrik buatan sendiri yang disembunyikan di bahagian ruang rahsia di belakang bot.

“Di bahagian enjin bot pula, kami menemui kompresor dan tong gas oksigen dipercayai untuk menyelam.

“Ketika panik disoal siasat, tekong berkenaan cuba memberi sogokan RM800 kepada pegawai APMM supaya membebaskan mereka sebelum semua suspek ditahan dan dibawa pulang bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen dan Akta Imigresen 1959 serta Akta SPRM 2009 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan cuba memberi suapan kepada kakitangan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 5:19 PM