ANTARA nelayan Vietnam yang ditahan. FOTO Syahirah Abdullah
ANTARA nelayan Vietnam yang ditahan. FOTO Syahirah Abdullah
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 9 (DM9) menahan 25 nelayan asing termasuk tiga tekong yang menangkap ikan secara haram di tiga lokasi berasingan di perairan Terengganu semalam membabitkan nilai rampasan bernilai RM2.4 juta.

Semua nelayan warga Vietnam berusia antara 26 hingga 42 tahun ditahan ketika leka menangkap ikan 61 batu nautika hingga 70 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu, berhampiran Pulau Perhentian.

Ketua Penguatkuasa Maritim DM9, Kapten Maritim Zainolabidin Jusoh berkata, kehadiran tiga bot nelayan itu disedari bot peronda yang melakukan rondaan di perairan jam 11.17 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati semua nelayan terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran.

"Rampasan dianggarkan bernilai RM2.4 juta membabitkan hasil laut, bot dan peralatan menangkap ikan.

"Semua nelayan terbabit kini direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda sebanyak RM1 juta seorang bagi tekong dan denda sebanyak RM100,000 bagi awak-awak atau penjara tidak melebihi dua tahun, jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 5:15 PM