FATIMAH (tiga dari kiri) dalam sidang medianya. FOTO L Manimaran
FATIMAH (tiga dari kiri) dalam sidang medianya. FOTO L Manimaran
Melvin Joni


KEMARUK cinta jejaka tampan menyebabkan ramai wanita di Sarawak, termasuk ada antaranya yang meniti usia emas menjadi mangsa ‘Love Scam’ sehingga menyebabkan kerugian harta-benda.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah mendedahkan, kebanyakan wanita yang menjadi mangsa penipuan itu berusia lingkungan 50-an dan 60-an dengan sebahagian besarnya berhubung di laman sosial.

Beliau turut mendedahkan ada dalam kalangan mangsa terdiri daripada wanita berpendidikan tinggi dan berkerjaya termasuk peguam, doktor dan guru, selain isteri orang kerana terpedaya dengan ‘cinta terlarang’.

Justeru, Fatimah mengingatkan wanita sentiasa berwaspada supaya tidak mudah terpesona dengan pelbagai janji manis sindiket penipuan yang sentiasa mensasarkan golongan terbabit, terutama yang berusia kerana memiliki banyak wang simpanan.

“Sebagai wanita, kita harus berhati-hati dan sentiasa berasa was-was dengan lamaran jejaka tampan dalam laman sosial terutama Facebook supaya tidak menjadi mangsa ‘Love Scam’. Bukan senang mahu mengumpul duit simpanan untuk hari tua atau pendidikan anak-anak.

“Jangan mudah ‘dicairkan’ oleh pujuk rayu lelaki dikenali di laman sosial, terutama yang menggunakan gambar profil jejaka tampan. Jangan kerana kemaruk cinta, habis semua wang simpanan lesap sehingga keluarga musnah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Menangani Masalah Isu Dadah dan Sindiket Penipuan di Bangunan Baitulmakmur, Kuching, hari ini.

Hadir sama Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Rosey Yunus dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Superintendan Sahar Abdul Latif.

Fatimah berkata, sukar untuk membanteras kegiatan jenayah itu jika golongan wanita tidak mempunyai kesedaran mengenainya dan terus membiarkan diri menjadi mangsa.

“Biarpun pelbagai usaha dilaksanakan termasuk kempen kesedaran, ia tetap bergantung kepada wanita untuk memperkukuhkan diri mereka daripada menjadi mangsa penipuan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 5:02 PM