BERNAMA

Kuantan: Kesunyian antara faktor wanita di negara ini mudah terpengaruh dengan penipuan cinta siber sehingga kerugian wang ringgit yang banyak, kata Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Hamza Taib.

Menurutnya, kebanyakan mereka golongan bekerjaya dan fasih berbahasa Inggeris yang memudahkan penjenayah terutama dari negara luar mengambil kesempatan.

"Penjenayah cinta siber ini sudah mempunyai skrip untuk mendekati wanita selain mereka (penjenayah) meletakkan gambar yang tampan seperti Shah Rukh Khan, namun realitinya adalah Negro (warganegara Afrika)," katanya selepas merasmikan Balai Polis Cherating yang baru dekat sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Fatimah Ghazali.

Hamza mengulas laporan media semalam bahawa kes jenayah cinta siber membabitkan wanita sebagai mangsa di negara ini semakin membimbangkan berikutan

meningkat setiap tahun.

Pegawai penyiasat Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia JSJK Bukit Aman, Asisten Superintendan Mohd Syafiq Jinuin Abdullah dipetik berkata, 1,646 kes jenayah siber dilaporkan membabitkan kerugian lebih RM56 juta pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Hamza berkata, ada juga wanita yang sudah berumah tangga menjadi mangsa dalam kes jenayah penipuan cinta siber berkenaan.

Menurutnya, selain kempen kesedaran, polis juga dilatih cara menangani pelbagai jenis jenayah siber.

"Sekarang fokus kita lebih kepada (menangani) jenayah siber kerana ia meningkat. Bukan love scam ini sahaja, jenayah ‘along' pun banyak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 6:50 PM