Dr Sahruddin bersalaman dengan Osman selepas sidang media di pejabat BERSATU Johor. FOTO Zain Ahmed
Dr Sahruddin bersalaman dengan Osman selepas sidang media di pejabat BERSATU Johor. FOTO Zain Ahmed
Izlaily Nurul Ain Hussein


MESKIPUN memilih untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar yang hanya disandang 11 bulan, beliau sanggup memberi bantuan dan sokongan yang diperlukan kepada Menteri Besar baru.

Itu janji Datuk Osman Sapian, bekas Menteri Besar Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas kepada Dr Sahruddin Jamal selaku Menteri Besar Johor baru.

Beliau berkata, Dr Sahruddin boleh menghubunginya pada bila-bila masa jika memerlukan khidmat dan nasihatnya.

“Saya berikrar akan terus memberikan sokongan kepada Menteri Besar dalam membangunkan Johor.

“Selaku ADUN Kempas saya juga akan terus berkhidmat dan menyokong agenda disusun Dr Sahruddin.

“Kewibawaan Dr Sahruddin dalam menjalankan tugas yang diamanahkan ke atasnya tidak boleh disangkal dan kerana itu jugalah saya melantiknya sebagai Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) awal tahun ini,” katanya ditemui selepas sidang media bersama Menteri Besar Johor di Ibu Pejabat Pakatan Harapan (PH) Johor di Johor Bahru hari ini.

Osman yang turut sama dalam sidang media itu dilihat ceria dan sempat meluangkan masa bersama pengamal media untuk bergambar kenangan.

Beliau turut berjenaka dan mengingatkan pengamal media supaya tidak melupakannya selepas ini.

“Saya masih ada ya,” katanya.

Pada masa sama, Osman berkata, dia juga masih memegang jawatan Pengerusi BERSATU Johor dan Pengerusi PH Johor.

Secara berseloroh Osman berkata, beliau tidak menerima surat menggugurkannya daripada jawatan itu.

“Saya tidak ada dapat surat gugur dari jawatan itu lagi. Tunggu sampai dapat surat yang kata saya bukan lagi pegang jawatan berkenaan,” katanya.

Berita berkaitan

Dr Sahruddin sah Menteri Besar ke-17 Johor [METROTV]

Mahu rakyat nikmati pembangunan

Lantikan barisan Exco baru dalam masa terdekat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 4:04 PM