Sahruddin memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar pada hari pertama di Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Sahruddin memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar pada hari pertama di Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


DR Sahruddin Jamal memulakan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Johor, hari ini, selepas tiba di pejabatnya di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, jam 9 pagi ini.

Ketibaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani dan Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk A Rahim Nin.

Sahruddin mengangkat sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, semalam.

Selepas menjejakkan kaki ke pejabat Menteri Besar, Sahruddin menyempurnakan upacara serah terima nota tugas daripada bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

Sahruddin pada sidang media ringkas turut mengucapkan terima kasih kepada Osman.

“Sebetulnya ini perkara biasa yang mana kita akan melakukan prosedur melakukan penyerahan serah terima tugas.

“Apapun, ucapan berbanyak terima kasih kepada masyarakat dan Datuk Osman sendiri kerana bersama-sama dengan kita selama 11 bulan untuk memastikan tugas beliau sebagai Menteri Besar dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 12:11 PM