GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Seorang Exco Johor, hari ini menyokong cadangan supaya gaji Menteri Besar serta wakil rakyat di negeri itu dipotong bagi mengisi Tabung Khas Covid-19 Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata, langkah menyokong saranan potongan gaji itu mencerminkan pengorbanan kepimpinan negeri untuk membantu meringankan beban rakyat terhimpit akibat wabak berkenaan.

"Saya turut menyambut baik saranan Yang Berhormat Kempas, Datuk Osman Sapian, Parit Yaani, Aminolhuda Hassan dan Senggarang, Khairuddin A Rahim,yang mencadangkan supaya pemotongan gaji beberapa pihak terutamanya barisan kepimpinan tertinggi membabitkan Menteri Besar, Exco dan wakil rakyat negeri.

"Langkah ini secara tidak langsung dapat menzahirkan keprihatinan serta pengorbanan pemimpin atau wakil rakyat negeri ini dalam usaha membantu meringankan beban kemaslahatan Bangsa Johor," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, di di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Izhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Larkin, mencadangkan kerajaan Johor juga dapat memanjangkan insentif bantuan tunai RM200 untuk petugas barisan hadapan dalam Belanjawan Johor 2021 termasuk kepada pengamal media negeri ini.

Katanya, langkah itu wajar diambil kerana media adalah antara individu yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Dengan gaji pokok yang rendah, majoriti daripada mereka ini bergantung kepada pendapatan tambahan yang diperolehi menerusi bayaran elaun bahan berita yang disediakan dan disiarkan.

"Selain itu, mereka turut berhadapan risiko jangkitan kerana terpaksa turun ke lapangan dalam usaha menggali informasi untuk dikongsikan kepada masyarakat umum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 3:29 PM