Mohd Aizat Shamsuddin


SEORANG sub kontraktor ditahan reman lima hari hingga Isnin depan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu untuk membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM261,000.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Seksyen/Majistret, Rusila Nik di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18, Akta SPRM 2009.

Sumber SPRM berkata, suspek ditahan 3.30 petang semalam ketika hadir ke pejabat SPRM Terengganu.

“Suspek berusia 40 tahun ditahan susulan penahanan seorang penolong pengurus disyaki sama-sama mengemukakan tuntutan palsu berhubung kerja-kerja membekal, memasang, menyusun dan menguji peralatan muzik untuk pancaragam sebuah sekolah di daerah ini pada 2017.

“Kerja-kerja pembekalan peralatan muzik untuk pancaragam berkenaan kemudiannya didapati tidak mengikut spesifikasi,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 12:46 PM