Zuliaty Zulkiffli


TUJUH wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam serbuan di sebuah premis hiburan di Sungai Petani, hari ini.

Pengarah JIM Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, dalam serbuan 1.35 pagi itu, seramai 25 warga asing diperiksa dan tujuh daripada mereka ditahan kerana melakukan kesalahan imigresen.

Menurutnya, empat wanita yang ditahan adalah warga Thailand dan selebihnya warga Laos berusia antara 23 sehingga 31 tahun.

“Semua mereka dikesan melakukan pelbagai kesalahan antaranya tiada dokumen sah dan menyalahguna pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai pelayan.

“Serbuan dilalukan oleh 17 penguat kuasa JIM dan operasi berakhir pada jam 2 pagi,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan Perkara 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Semua yang ditahan dihantar ke lokap Imigresen di Bahagian Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depoh Imigresen Belantik, Sik,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 1:03 PM
ANTARA wanita warga asing yang ditahan. FOTO Ihsan JIM
ANTARA wanita warga asing yang ditahan. FOTO Ihsan JIM