OBJEK dipercayai tengkorak manusia ditemui di pinggir hutan berhampiran Taman Intan Perdana, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
OBJEK dipercayai tengkorak manusia ditemui di pinggir hutan berhampiran Taman Intan Perdana, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


PENCARI kayu terkejut apabila menemui tengkorak manusia dalam hutan berhampiran Taman Intan Perdana, Port Dickson, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian 6 petang itu, lelaki berusia 47 tahun memasuki hutan untuk mendapatkan kayu.

Katanya, sebaik menghampiri pokok dia menemui tengkorak di atas tanah lalu menghubungi Balai Polis Telok Kemang.

Katanya, sepasukan anggota bersama pasukan forensik polis bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

“Siasatan awal menemui tengkorak dipercayai milik manusia tanpa rangka lain. Pihak kami turut menemui seluar di dalam tanah namun tidak pasti kepunyaan siapa,” katanya.

Menurut Aidi Sham, penemuan tengkorak itu 13 kilometer (km) dari jalan utama yang berhampiran Rumah Rakyat Telok Kemang.

“Siasatan diteruskan hari ini bersama pihak patologi. Buat masa ini butiran si mati belum dikenal pasti dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Menurutnya lagi, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga sejak enam bulan lalu diminta menyalurkan maklumat di balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 2:47 PM