GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Amanina Suhaini


POLIS menahan tiga individu termasuk seorang wanita selepas dipercayai terbabit dengan sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long dalam serbuan di sekitar Johor Bahru, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, dalam serbuan 12.20 tengah malam itu, sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) menahan kesemua suspek berusia 27 hingga 30 tahun.

Katanya, susulan tangkapan itu, polis berjaya melumpuhkan sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long yang disifatkan sebagai ganas dan berbahaya.

“Dalam serbuan pertama, polis menahan dua suspek iaitu seorang lelaki dan seorang wanita di tempat letak kenderaan di Taman Setanggi, sebelum seorang daripadanya membawa polis kepada serbuan seterusnya di kedai makan di Taman Sentosa, dekat sini.

“Selepas memeriksa butiran pengenalan diri suspek lelaki ketiga yang ditahan, pasukan serbuan menjalankan pemeriksaan dalam bilik yang dihuni suspek ketiga dan menjumpai barang rampasan.

“Sindiket Ah Long ini dikesan bergiat aktif pada penghujung Februari lalu, dengan mensasarkan individu atau peminjam yang gagal membayar pinjaman yang mana urusan pinjaman wang terbabit dipercayai dilakukan di negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, serbuan membawa kepada penemuan beberapa peralatan termasuk tin cat merah, botol penyembur, penutup muka, petrol dan sebuah kenderaan milik seorang daripada suspek dipercayai digunakan sindiket ini turut dirampas.

Katanya, mereka dipercayai mengganggu, memberi ugutan serta mendatangkan bencana dengan api terhadap harta benda milik mangsa atau peminjam.

Shahurinain berkata, dengan tertangkapnya tiga individu itu, pihaknya menyelesaikan enam kes yang dilaporkan di daerah ini, selain 13 kes di Iskandar Puteri, satu kes di Batu Pahat, enam kes di Kontinjen Selangor dan satu kes di Kontinjen Perak.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 / Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 29B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, yang memperuntukkan denda tidak kurang RM50,000 tetapi tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, suspek boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan berurusan terus dengan syarikat pinjaman wang berlesen atau ke kaunter perkhidmatan kewangan institusi perbankan berdaftar.

“Ini bagi mengelak orang ramai menjadi mangsa sindiket Ah Long yang sentiasa mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan tidak munasabah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 9:14 AM