MOHD Zaini, USIM sedia menerima tetamu ATS, esok. FOTO Ihsan USIM.
MOHD Zaini, USIM sedia menerima tetamu ATS, esok. FOTO Ihsan USIM.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SERAMAI 245 penuntut cemerlang di seluruh negara bakal berentap bagi merebut Anugerah Menteri Pendidikan (Tokoh Siswa) berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, malam esok.

Pegawai Pusat Komunikasi Strategik USIM, Mohd Zaini Othman berkata, 15 kategori dipertandingkan yang menyaksikan seorang mahasiswa bakal ditabalkan pemenang utama.

Katanya, Anugerah Tokoh Siswa (ATS) 2018 anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah anugerah berprestij yang mengiktiraf mahasiswa cemerlang.

“USIM berbesar hati diberi kepercayaan sebagai tuan rumah bagi ATS yang mengiktiraf pencapaian dan ketokohan mahasiswa di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, kategori dipertandingkan mencakupi aspek kepimpinan, kesukarelawanan, keusahawanan, kebudayaan, sukan dan sebagainya.

“Sejak 2013, ATS menjadi landasan melahirkan graduan yang menonjol dalam akademik, sahsiah diri dan ketrampilan,” katanya.

Mohd Zaini menjelaskan, pemegang Tokoh Siswa Kebangsaan akan melalui sesi penilaian ketat di peringkat KPM yang memerlukan temuduga secara berkumpulan dan individu.

“Hanya lima calon terbaik menjalani temuduga, yang mana malam esok akan turut diadakan Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT),” katanya.

Majlis akan dirasmikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan dijangka dihadiri 800 tetamu termasuk pegawai KPM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 1:33 PM