FATIN Azzahra (dua kanan) selepas menerima anugerah Tokoh Mahasiswa 2017. FOTO Ihsan Fatin Azzahra
FATIN Azzahra (dua kanan) selepas menerima anugerah Tokoh Mahasiswa 2017. FOTO Ihsan Fatin Azzahra
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

KESIBUKAN menelaah pengajian bidang perubatan dan menjalani latihan amali di hospital tidak pernah menghalang penuntut cemerlang ini untuk aktif berpersatuan serta mengikuti misi kemanusiaan.

Malah, tempoh lima tahun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, dimanfaatkan sepenuhnya Fatin Azzahra Lokman, 25, dari Gombak, Kuala Lumpur untuk berjaya dalam semua bidang diceburi.

Kegigihan dan keikhlasannya membantu masyarakat berbalas dengan penerimaan Anugerah Tokoh Siswa 2017 Negara disampaikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam majlis diadakan di Universiti Malaysia Perlis (Unimap), bulan lalu.

Fatin Azzahra turut memenangi dua kategori lain iaitu Anugerah Pemimpin Pewakilan Pelajar dan Anugerah Menteri Pendidikan Tinggi.

Anak ketiga daripada lima beradik itu memberitahu, minatnya dalam aktiviti berpersatuan sejak di bangku sekolah mendorongnya untuk terus aktif apabila memasuki alam universiti.

“Selalu pandangan sesetengah orang akan anggap penuntut perubatan ini ulat buku dan sentiasa sibuk dengan latihan praktikal di hospital dan saya pula tidak mahu jadikan itu alasan, sebaliknya bijak bahagikan masa.

“Ia kunci (bahagikan masa) untuk kita bergiat aktif dalam aktiviti sosial, malah saya anggap hospital adalah rumah kedua saya untuk saya bertemu pesakit dan berbual dengan mereka, bukan sekadar bertanya kesihatan mereka sahaja tetapi ambil tahu kehidupan sosial mereka,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan, UIAM Kuantan itu memberitahu, dia kini aktif dengan tiga persatuan kebajikan dan kemanusiaan yang banyak membantu masyarakat terutama dalam aspek kesihatan.

Berpengalaman menyertai misi kemanusiaan di Kemboja pada 2017, Fatin Azzahra berkata, dia gemar berkongsi ilmu dan tip penjagaan kesihatan sekali gus menyebabkan dia kerap turun padang untuk aktiviti bersama rakyat.

Katanya, dia mahu menjadi contoh buat penuntut perubatan lain supaya lebih aktif membantu masyarakat dan kesibukan menamatkan pengajian bukanlah penghalang.

Dia juga menyifatkan anugerah sebagai Tokoh Siswa 2017 sebagai amanah untuk melakukan lebih baik di masa akan datang.

“Kejayaan ini juga diharapkan menjadi pemangkin semangat dan iktibar kepada mahasiswa lain untuk sentiasa mencari peluang untuk berbakti sebagai bekalan pada akhirat nanti,” katanya.

Mengulas perancangannya selepas ini, Fatin Azzahra memberitahu mahu menyambung pengajian ke peringkat seterusnya selain bergelar pakar psikiatri, dengan menggunakan Biasiswa Tokoh Siswa yang diterima.

Katanya, impian untuk menjadi doktor pakar akan cuba direalisasikan sekali gus menjadi platform baik buatnya terus membantu golongan memerlukan seperti gelandangan dan kanak-kanak miskin.

INFO FATIN AZZAHRA:

- Sudah berkhawin

- Bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia; Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok dan MRSM Tun Abd Razak, Pekan Pahang.

- Menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar 2016/2017 UIAM Kuantan

- Penuntut jurusan perubatan pertama di Malaysia dipilih memenangi Anugerah Tokoh Siswa

- Menyertai persatuan Volunteer Team UIAM Kuantan, World Assembly of Muslim Youth (WAMY) UIAM Kuantan dan sukarelawan bagi Hospital Beyond Boundaries (HBB) di Kemboja

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 6:58 PM