BARISAN calon UPSI yang terpilih dalam saringan pemilihan Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2022  di KPT. FOTO Ihsan UPSI.
BARISAN calon UPSI yang terpilih dalam saringan pemilihan Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2022 di KPT. FOTO Ihsan UPSI.
Ihsan Noorzali


Tanjung Malim: Sembilan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya melangkah ke saringan akhir Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2022, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Ia adalah anugerah paling berprestij di arena mahasiswa Malaysia bertujuan mengiktiraf pencapaian mereka dalam ketokohan berorganisasi serta penganjuran program yang berimpak tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Mereka yang layak ke pentas akhir ialah Muhammad Nur Naim Abdul Rehman dari Fakulti Pembangunan Manusia untuk kategori Kepimpinan Sukarelawan Kemanusiaan), Mohamad Saifuddin Ab Shatar (Kepimpinan Sukarelawan Kesejahteraan Komuniti), Nur Shafiq Iqwan Shafiruddin (Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar), Nurul Izzah Tukiran (Kepimpinan Keusahawanan) dan Mohd Akmal Akasyah Abd Salam untuk kategori Kepimpinan Sukan.

Sementara itu, Anis Adilah Amlaki terpilih bagi Kategori Khas Kepimpinan Ibnu Ummu Maktum, Amir Izwan Mat Hussain, Siti dan Wafi Sofean Helmi terpilih bagi kategori Badan Majlis Perwakilan Pelajar.

Secara keseluruhan negara mencatatkan jumlah mahasiswa mencecah 1.2 juta orang yang mengikuti pengajian di universiti awam dan swasta.

Daripada jumlah itu, ribuan mahasiswa memohon untuk menerima anugerah dengan hanya tiga finalis bagi setiap kategori dipilih ke peringkat akhir.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata universiti itu mendominasi anugerah berprestij berkenaan pada 2017 apabila seramai lima mahasiswa memenangi anugerah tokoh siswa dalam beberapa kategori.

Beliau menganggap penganugerahan Tokoh Siswa Kebangsaan menjadi idaman mahasiswa kerana ia mencerminkan keupayaan universiti melahirkan graduan berfikiran kritis, inovatif, pintar, dan mempunyai daya serta nilai kepimpinan yang tinggi dan berketerampilan.

"Mahasiswa UPSI yang bakal menjadi pendidik sentiasa berusaha memantapkan keupayaan kurikulum akademik, kokurikulum serta pelbagai kemahiran insaniah sebagai persiapan diri sebelum berjaya mendapatkan tempat dalam pasaran tenaga kerjasama ada di dalam mahupun di luar negara yang penuh persaingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 4:07 PM