FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental ditemui meninggal dunia selepas jatuh dari tingkat atas sebuah blok bangunan Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu pada 10.30 malam.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju bergegas ke lokasi kejadian.

"Mangsa berusia 38 tahun yang berpakaian lengkap ditemui mati dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di kawasan parkir motosikal di blok PPR berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rajab berkata, menurut keterangan ahli keluarga mangsa, lelaki itu sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki.

"Mangsa dipercayai pergi ke lokasi untuk melawat abangnya yang tinggal di blok berkenaan. Semakan lanjut mendapati mangsa mempunyai buku rawatan susulan Jabatan Psikiatri dan Mental Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) HKL untuk bedah siasat dan punca kematiannya dikenal pasti akibat parah terjatuh dari tempat tinggi," katanya.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut (SDR).

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Arita Mabni di talian 019-3516695 atau Ketua Polis Balai, Inspektor Mohd Razif Abdul Aziz di talian 010-2332777 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 8:41 PM