MOHAMAD Sharil berniaga miniatur lego karakter adiwira di pusat beli-belah.
MOHAMAD Sharil berniaga miniatur lego karakter adiwira di pusat beli-belah.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


“DALAM keadaan ekonomi sekarang, kita memang tidak boleh bergantung kepada satu punca pendapatan saja, apatah lagi jika tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

“Jadi, suka atau tidak, saya perlu berkorban masa dan tenaga ketika masih muda mencari pendapatan sampingan demi memastikan kehidupan lebih selesa dan terjamin,” kata Mohamad Sharil Sabari, 34.

Anak jati Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu mula menjadi sebutan selepas dia memuat naik status di laman Facebook (FB) mengenai beberapa pekerjaan yang dilakukannya dalam satu masa demi mencari pendapatan sampingan.

Perkongsian Mohamad Sharil itu nyata membuka hati ramai belia yang selama ini selesa bergantung hidup kepada satu punca pendapatan saja tanpa mahu berusaha memperbaiki taraf kehidupan masing-masing.

Mohamad Sharil yang mesra dengan panggilan Shah berkata, dia tidak kesal menghabiskan waktu mudanya dengan bekerja keras siang dan malam demi memastikan keluarga yang bakal dibinanya selesa.

Katanya, meskipun memiliki pekerjaan tetap sebagai pembantu teknikal di sebuah syarikat swasta namun dia masih melakukan pelbagai kerja sampingan demi menambah pendapatan bulanan.

“Saya berniaga burger bermula jam 6 petang hingga jam 11.30 malam, itulah rutin setiap hari selepas pulang kerja.

“Sejak remaja lagi saya kurang gemar membuang masa atau melepak tidak tentu hala kerana bagi saya, waktu muda dan ketika badan masih sihat inilah kita perlu bekerja keras untuk hari tua,” katanya. ketika ditemui Harian Metro.

Shah berkata, dia juga turut menerima jemputan untuk melakonkan watak adiwira Spiderman pada hujung minggu bagi menghiburkan kanak-kanak.

Katanya, setakat ini, banyak jemputan yang diterima adalah untuk menghiburkan pesakit kanak-kanak di beberapa hospital di sekitar ibu negara.

“Saya tidak kisah berlakon watak animasi berkenaan asalkan mendapat rezeki halal.

“Lagipun, watak adiwira seperti Spiderman sememangnya digemari kanak-kanak dan saya gembira dapat menghiburkan mereka terutama yang menjalani rawatan di hospital,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, pada setiap Ahad, anak sulung daripada dua beradik itu turut berniaga miniatur lego karakter adiwira di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Katanya, sebelum ini, dia gemar mengumpul barangan Coca-Cola dan lego karakter animasi adiwira serta dikenali dalam kalangan komuniti penggemar mainan di ibu kota.

Daripada hanya sekadar hobi, dia akhirnya berniaga miniatur lego dan kini sudah 10 tahun terbabit dalam perniagaan kecil-kecilan itu.

“Sambutannya begitu menggalakkan dan saya pernah menjual satu miniatur lego watak filem Star Wars pada harga RM900.

“Koleksi itu dikeluarkan pada 2000 dan ia sukar ditemui, jadi harganya memang melambung tinggi.

MOHAMAD Sharil bekerja sebagai pembantu teknikal di syarikat swasta.
MOHAMAD Sharil bekerja sebagai pembantu teknikal di syarikat swasta.

“Bagi pengumpul, mereka tidak kisah dan sanggup mengeluarkan belanja mahal asalkan memperoleh koleksi yang diidamkan,” katanya.

Jelas Shah lagi, pada Ramadan, dia turut tidak melepaskan peluang menambah pendapatan dengan menjual kuih tepung pelita di bazar Ramadan.

Katanya, seperti tahun sebelumnya, lokasi bazar yang menjadi pilihan adalah di Pandan Indah.

“Sudah lima tahun saya menjual kuih tepung pelita di bazar Ramadan, dan jika tiada aral melintang, bulan puasa tahun ini pun saya berniaga.

“Orang kata, Ramadan adalah bulan keberkatan dan ia juga memberi rezeki yang melimpah-ruah,” katanya.

Sementara itu, Shah berkata, pendapatan yang diperoleh hasil melakukan pelbagai pekerjaan itu ada ketikanya melebihi gaji bulanannya.

Katanya, pendapatan yang diterima disimpan bagi membeli aset untuk masa depan selain membantu meringankan kewangan ibu bapanya.

“Jika berharap pada gaji bulanan saja memang tidak mencukupi kerana kos sara hidup di ibu kota sememangnya tinggi dan ramai yang berada dalam kategori miskin bandar meskipun memiliki pendapatan melebihi RM3,000 sebulan.

“Justeru, kita perlu kreatif mencari pendapatan sampingan lain dan apa yang penting, usah malu untuk berniaga demi mencari rezeki halal.

“Percayalah, rezeki sememangnya terbuka luas untuk semua, terpulang kepada kita sama ada mahu merebut peluang itu atau tidak,” katanya.

 MOHAMAD Sharil berniaga burger bermula jam 6 petang hingga jam 11.30 malam setiap hari selepas pulang kerja.
MOHAMAD Sharil berniaga burger bermula jam 6 petang hingga jam 11.30 malam setiap hari selepas pulang kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 8:02 AM