WAKIL NGO mengenakan tudung rona biru sebagai tanda solidariti untuk tragedi Christchurch di Restoran Ramziela Delight, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Nik Hariff Hassan.
WAKIL NGO mengenakan tudung rona biru sebagai tanda solidariti untuk tragedi Christchurch di Restoran Ramziela Delight, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Nik Hariff Hassan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SEBAHAGIAN besar wanita New Zealand mengenakan tudung atau hijab hari ini sebagai tanda penghormatan kepada mangsa serangan tembakan di dua masjid di Christchurch, Jumaat lalu.

Tragedi menyayat hati ketika jemaah menunggu untuk solat Jumaat di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood, Christchurch itu memberi impak sangat besar bukan sahaja untuk umat Islam, malah masyarakat berbilang agama di serata dunia.

Di Malaysia, beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut tampil menyatakan sokongan memakai tudung rona senada biru sebagai tanda solidariti kepada mangsa tragedi berkenaan.

Pengasas Rumah Kebajikan Baitulfiqh, Haliza Abdul Halim, 59, berkata, pada mulanya dia bersama lebih 20 wakil NGO hanya merancang untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan agenda persatuan masing-masing.

Namun, apabila melihat kepada tarikhnya iaitu 22 Mac bersamaan dengan sambutan Hari Hijab Nasional, mereka memilih untuk menyertai kempen itu sebagai wakil NGO dari Malaysia.

“Warna biru menjadi pilihan kerana wanita di New Zealand memakai rona berkenaan hari ini dan kami mahu mereka tahu, rakyat Malaysia sentiasa bersama untuk melalui saat duka ini.

“Jika tiada aral, kami merancang untuk menghadiahkan tudung kepada kerajaan New Zealand menerusi pejabat kedutaannya di Kuala Lumpur sebagai simbolik solidariti dan menghormati komitmen negara berkenaan sepanjang tragedi ini,” katanya.

Mereka berkumpul di restoran penyanyi popular sekitar 1980-an, Datin Ramziela Radzillah di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, kempen memakai hijab berkenaan digerakkan menerusi hashtag #headscarfforharmony iaitu inisiatif seorang doktor di sebuah hospital di New Zealand iaitu Thaya Ashman.

Ia mendapat sambutan hangat masyarakat seluruh dunia termasuk Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 8:59 PM